BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, July 29, 2011

Ramadhan datang lagi 2011

BERDEPAN suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.

Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat.
Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.

Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.

Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.
Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.

Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.

Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.

Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)
Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.

Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: “Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Sunday, March 20, 2011

Manusia halalkan pembunuhan, perang tidak diampun dosa

ALLAH mencipta sesuatu dengan hikmah dan keunikan tersendiri. Langit dan cakerawala, bumi, penghuninya, lautan serta rahsianya. Manusia adalah ciptaan Allah yang paling bernilai dan sebaik-baik kejadian.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.” (Surah At-Tin, ayat 3)
Imam 3 Masjidil Haram, Soleh Muhammad, berkata manusia juga ibarat satu binaan di sisi Allah di samping kewajipan dan tuntutan yang perlu dilakukan, roh mereka adalah pinjaman berharga dan darah yang mengalir amanah perlu dijaga dengan sempurna.
Oleh itu katanya, pembunuhan seorang manusia dengan cara yang salah adalah dosa besar. Malangnya, darah manusia hari ini bagaikan tiada nilai disebabkan pangkat serta kedudukan yang bersifat sementara.

“Setelah berlalu masa yang panjang antara umat dan utusan Allah iaitu nabi, nyawa dan darah manusia kini bagaikan tidak ternilai.

“Berlakunya perang saudara dan perkauman kerana pegangan agama serta kesan jahiliah yang terpahat di jiwa mereka,” katanya.

Katanya, peristiwa zaman jahiliah kini berulang apabila manusia berperang sesama sendiri atas sebab yang tidak munasabah sementara hukuman dikenakan kepada manusia biasa dan membebaskan mereka yang berpengaruh.
Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya binasalah mereka sebelum daripada kamu apabila orang kebanyakan melakukan kesalahan, kamu kenakan hukuman tetapi jika ia berlaku terhadap orang bangsawan, makan kamu melepaskan mereka.” (Al-Hadis)

Malah, Nabi SAW memberi ancaman kepada mereka yang membunuh dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Membunuh seorang yang beriman adalah perkara yang paling hina di sisi Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai’)

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya dengan kemurkaan Allah serta laknatnya terhadap mereka.” (Surah an-Nisa’, ayat 93)
Soleh berkata, setelah kedatangan Islam, kedudukan manusia dimuliakan oleh Allah dan mengubah bentuk pengabdian mereka kepada Allah yang satu.

Katanya, kedudukan manusia yang mulia di sisi Allah menyebabkan darah mereka haram ditumpahkan walau mereka golongan kafir yang tidak memerangi Islam kerana perbuatan membunuh adalah kesalahan besar.

“Membunuh itu menghilangkan roh dengan cara tidak betul sedangkan nyawa adalah amanah yang perlu dipelihara sebaiknya. Sesiapa melakukannya nescaya mendapat balasan seksaan yang berat,” katanya.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Semua dosa akan diampunkan Allah kecuali mereka yang mati dalam kufur atau membunuh seorang mukmin dengan sengaja.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai’)

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Allah akan berkata kepada orang yang membunuh diri, sesungguhnya kamu telah mendahului Aku, maka pada hari ini kamu akan diharamkan daripada menikmati syurgaKu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pluralisme_ boleh gugat akidah Islam

Menyamakan pegangan menjejas keharmonian sosiobudaya, masyarakat majmuk Malaysia

PRINSIP pluralisme agama sebenarnya adalah persoalan berkaitan akidah yang menjadi teras kepada jati diri orang Islam. Jika punah teras ini sudah tidak bermakna keimanan seorang yang mengakui dirinya Islam.

Dalam Islam, orang yang tidak bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah tidak boleh dikategorikan sebagai orang Islam.
Hal demikian disebabkan persoalan syahadah ini adalah terlalu asas dan seorang tidak boleh tidak melainkan mengucap dua kalimah syahadah bagi menyempurnakan rukun Islam yang pertama.
Menyamakan orang yang tidak mengakui keesaan Allah dan kenabian Rasulullah SAW bukan suatu perkara yang boleh ditolak ansur. Walaupun begitu, Islam tidak pernah memaksa bukan Islam memeluk agama Islam dan menghormati penganut agama lain.

Ada sesetengah golongan cuba berlindung di sebalik kebebasan beragama bagi mempromosikan pluralisme agama. Mereka mendakwa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi tiket kepada mereka menyatakan semua agama itu sama dan seseorang bebas menukar agamanya.

Pandangan itu sebenarnya tersasar daripada kedudukan undang-undang. Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak semua orang menganut dan mengamalkan agamanya tetapi ia bukan tiket bertukar agama ataupun bebas dari sebarang agama.
Menelusuri Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, ia memberi keistimewaan kepada agama Islam berbanding agama lain. Oleh itu, tiada sama rata antara Islam dan agama lain. Islam mesti diberi kelebihan dari sudut undang-undang.
Namun, keistimewaan Islam bukanlah bermakna perlembagaan membenarkan penindasan kepada agama lain. Perlembagaan menjamin kebebasan beragama ini selagi ia tidak menggugat keamanan dan keharmonian negara.

Malah perundangan Islam itu sendiri sentiasa memberi hak kepada penganut agama lain melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab agama mereka.

Pluralisme agama sebenarnya tiada tempat dalam perundangan negara mahupun perundangan Islam. Ia mestilah ditolak kerana akan membawa kepada kucar-kacir dalam sosiobudaya dan masyarakat Malaysia.

Orang Islam dan bukan Islam mestilah bersetuju bahawa setiap agama adalah berbeza, tetapi perbezaan ini bukan menjadi punca kepada perpecahan. Perbezaan ini harus dihormati antara satu sama lain.

Menyamakan semua agama hanya akan menimbulkan kegusaran dan kegelisahan antara agama selain menyebabkan rasa tidak puas hati disebabkan mungkin ajaran suatu agama itu berbeza berbanding ajaran agama lain.

Kesamarataan antara agama juga adalah salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang pernah diperjuangkan suatu ketika dulu. Walaupun kerajaan menolak tuntutan 14 perkara IFC tetapi mereka tidak berputus asa. Mereka masih meneruskan tuntutan secara berasingan pula.

Umat Islam harus pandai menilai sama ada sesuatu itu baik atau sebaliknya. Namun dalam membuat penilaian itu, mesti berasaskan kepada perundangan dan ajaran Islam. Oleh kerana pluralisme agama adalah persoalan akidah bukan perkara cabang, maka ia tidak ada kompromi.

Islam tidak mengiktiraf agama lain sebagai agama yang benar. Pada masa sama, Islam tidak menekan penganut agama lain. Inilah keindahan ajaran agama Islam.
Oleh itu, sebaiknya persoalan akidah yang begitu teras dalam Islam ditangani ulama Islam yang mahir dalam hal ehwal agama. Janganlah masyarakat awam yang teruja dengan kemampuan pemikiran sendiri berlumba-lumba mengeluarkan fatwa agama tanpa bersandarkan nas sahih daripada al-Quran, sunnah serta pandangan ulama besar yang diterima keilmuan mereka.

Orang bukan Islam harus menerima Islam seadanya mengikut ajaran Islam itu sendiri, bukan mengikut apa yang mereka suka kerana orang Islam sendiri terikat dengan perkara asas ajaran agama. Namun, orang Islam tidak pernah mempertikaikan perkara asas itu dan bagi persoalan cabang atau furu’, biarlah ahli agama yang terlatih dalam bidang agama merungkaikan permasalahan berkenaan.

Sunday, November 28, 2010

aduhai diri ini...

Kadang-kadang kita terasa yang diri ini seperti tidak berguna..lemah tidak bermaya..tetapi sedar lah wahai sahabat, setiap ciptaan Allah ada hikmahnya..

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 156 yang bermaksud: “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu.”

Begitu juga dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu sekalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia adalah Zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Dalam kitab Riadis Solihin, Imam al-Nawawi, meletakkan dua ayat al-Quran ini dalam bab Berharap pada Allah.

Pertamanya, untuk menghilangkan perasaan sedih dan dukacita hendaklah kembali rujuk kepada Allah SWT dengan bertaubat agar jiwa menjadi suci dan tenang. Sebaiknya, bangun waktu malam dan solat taubat.
Kedua, banyakkan menyebut istighfar dan menyebut: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Kami sudah menzalimi diri kami (dengan melakukan banyak maksiat). Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami dan tidak merahmati kami, nescaya kami akan termasuk golongan orang yang rugi (terutamanya di akhirat).

Ketiga, banyak melakukan muhasabah diri dan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Di samping itu banyakkan doa seperti doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah, perelokkanlah agama (pada diri kami) yang menjadi benteng segala urusan kami dan perelokkanlah dunia kami yang padanya kami mencari penghidupan dan perbaikilah akhirat kami yang padanya kami kembali (untuk menerima balasan) dan jadikanlah hidup, bertambah-tambahnya kebaikan (amal soleh) dan jadikanlah mati, kerehatan daripada segala yang buruk.”

Selain itu, banyakkan membaca doa yang dibaca pada waktu pagi dan petang yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kegelisahan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah (jiwa) dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil serta aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.” – Riwayat Abu Daud.

Keempat, banyakkan melakukan perkara yang beroleh ketenangan seperti istiqamah dalam solat berjemaah, banyakkan melakukan solat tahajud, berzikir, menghadiri pengajian agama, berdamping dengan alim ulama, berusaha memantapkan keimanan dengan meningkatkan ilmu agama, berfikir tentang akhirat, bergaul dengan orang yang mempunyai akhlak yang baik serta menghubungkan silaturahim dengan kaum kerabat.

Di samping itu, hendaklah berusaha mencari reda Allah SWT dengan berpegang teguh dengan agama serta melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Jangan mencari reda manusia sehingga menderhakai Allah SWT kerana ia menjadikan anda sedih dan kecewa.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 63 yang bermaksud: “Hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang (Ibadur-Rahman) itu iaitu orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.

Menurut tafsir Ibnu Kathir dalam menjelaskan ayat berkenaan iaitu antara sifat hamba Allah SWT yang beriman iaitu:

Pertama, seperti disebut Allah SWT, “orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati...” bermaksud dengan tenang dan tenteram tanpa menampakkan kesombongan serta takbur.

Kedua, seperti disebut selepasnya, “Dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi keselamatan)” yang bermaksud, apabila orang jahil menegur mereka dengan ucapan kotor, mereka tidak membalasnya dengan teguran sama. Malah mereka memaafkan, menyambut dengan santun dan tidak mengatakan sesuatu selain ucapan yang baik. Hal sebeginilah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW. Wallahua’lam.

Friday, November 26, 2010

Solat berjemaah

Solat memberi kesempatan kepada umat Islam berpersatuan, lebih disiplin, cegah kemungkaran

ISLAM adalah agama proaktif menaja dan mempromosi perpaduan. Sejarah mencatatkan pembesar sahabat Nabi Muhammad SAW datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kita mengenali sahabat dekat Nabi daripada kalangan Quraisy seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan. Sahabat Bilal bin Rabbah bukan daripada golongan Quraisy yang ternama dan dihormati. Bahkan beliau hanya seorang hamba berkulit hitam, manakala Salman al-Farisi ialah pendatang dari Parsi.

Sahabat Abdullah bin Salam pula ialah seorang Yahudi yang ikhlas mencari kebenaran, akhirnya memperakui kenabian Nabi Muhammad. Abdullah bin Ummi Maktum pula lelaki yang buta matanya, namun hatinya celik untuk menerima hidayah Islam.
Sejarah tamadun dunia mencatatkan agama Islam menyatukan manusia daripada pelbagai golongan, rupa paras, warna kulit dan kasta. Hanya Islam yang mampu menolak perbezaan berdasarkan kata Allah di dalam kitabnya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah, ialah orang yang paling bertakwa” (Surah al-Hujurat, ayat 13). Sahabat nabi tidak dikenal daripada asal keturunannya, sebaliknya mereka menonjol kerana iman dan takwanya.
Banyak ibadah dalam Islam dilakukan secara bersama-sama yakni berjemaah. Antaranya termasuk ibadah haji di Makkah, solat Jumaat setiap minggu dan solat lima waktu berjemaah di masjid setiap hari.

Mekanisme ibadah secara berjemaah ini memberi kesempatan kepada umat Islam untuk berkomunikasi, saling berkenalan, saling berbincang, dan tolong-menolong antara mereka. Ibadah jemaah ini memberi manfaat dan faedah yang besar kepada umat Islam. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Dr Salih bin Ghanim Sadlan ialah membantu yang lemah, memberi pelajaran kepada orang yang jahil, melembutkan hati dan menampakkan kebesaran Islam.

Tegas beliau dalam buku yang diterjemahkan dengan tajuk Bimbingan Lengkap Solat Berjemaah: “Mengerjakan solat jemaah akan melahirkan persatuan, kasih sayang, persaudaraan antara sesama Muslim, akan menjadikan mereka satu barisan yang rapi dan kukuh, akan lahir di tengah mereka sifat dermawan dan kesepakatan hati. Ini sekali gus membimbing mereka untuk hidup teratur, disiplin dan selalu menjaga waktu”.

Kedudukan solat dalam Islam adalah wasilah yang paling ampuh dalam menghapuskan perbezaan status sosial antara kaum Muslimin, menghilangkan sikap fanatik terhadap warna kulit, suku bangsa dan tempat. Lelaki Islam diperintah untuk mengerjakan solat secara berjemaah di masjid. Imam Bukhari merekodkan satu hadis menjelaskan Nabi mengancam untuk membakar rumah orang yang enggan hadir solat jemaah di masjid.
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan hadis ini dalam kitab syarahnya Fathul Bari: “Hadis ini jelas menunjukkan solat lima waktu berjemaah hukumnya fardu Ain. Sekiranya hanya sunnah tentunya Nabi tidak memberi ancaman yang keras kepada orang yang tertinggal, iaitu membakar rumah mereka.”

Perpecahan adalah bencana dan kemungkaran. Oleh itu solat yang benar berupaya untuk mencegah kemungkaran seperti yang dikatakan oleh Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Tidak dapat dinafikan, belum semua umat Islam yang menunaikan solat secara berjemaah itu bersatu padu. Hati sebahagian mereka masih saling berselisih walaupun berada di belakang imam yang satu dan saf sama.

Solat sebahagian daripada umat Islam masih belum menepati cara solat Nabi seperti ditegaskan baginda. “Solatlah kamu seperti kamu lihat aku solat” (Hadis Bukhari dan Muslim). Sebahagian umat Islam menyelisihi perintah Nabi. Mereka solat bukan dengan melihat contoh Nabi, sebalik solat dengan melihat contoh orang lain atau melihat contoh guru atau syeikh semata-mata.

Satu perkara yang paling kritikal ditegaskan oleh Nabi ketika menunaikan solat ialah perihal saf. Sekali pandang persoalan saf solat nampak seperti remeh, namun nabi menyebutkan bencana yang besar akan menimpa umat Islam yang mencuaikan saf ketika solat.

Saf yang sempurna sebahagian daripada kesempurnaan solat. Saf yang bengkang-bengkok serta renggang melambangkan hati dan muafakat ahli jemaah. Ini dijelaskan oleh Nabi sendiri dalam banyak hadis. Sahabat Abdullah bin Mas’ud melaporkan daripada Nabi yang bermaksud: “Luruskanlah saf, janganlah kalian membengkokkan saf, nanti hati-hati kamu akan berselisih.” (Hadis Muslim)
Seorang lagi sahabat Nu’man bin Bashir melaporkan daripada Nabi yang bermaksud: “Luruskan saf kamu, demi Allah hendaklah kamu meluruskan saf kamu, atau Allah akan memalingkan wajah kamu.” (Hadis Bukhari & Muslim). Imam Nawawi pula menjelaskan maksud hadis ini: “Terjadinya permusuhan di antara kamu, perseteruan dan perselisihan, begitu juga dalam perkataanmu, ‘Ekspresi wajah si polan berubah terhadapaku, saya melihat dari raut wajahnya dia benci terhadapku, hati dan sikapnya berubah terhadapku”. Hal ini tidak lain berpunca dari tidak lurusnya saf solat mereka sedangkan ia sebagai bentuk dan simbol perbezaan mereka secara zahir. Perbezaan yang zahir ini menjadi sebab timbulnya perbezaan secara batin.” (Syarah Sahih Muslim).

Monday, November 15, 2010

HIKMAH IBADAH KORBAN

Kita kini melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu Zulhijjah. Pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha.

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Korban itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadat korban.

Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat.
Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)

Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat.

Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)
Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”

Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak.

Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT.

Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima.

Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.

Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban.

Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)

Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

Saturday, September 25, 2010

Netanyahu tipu proses damai

Wartawan akhbar Haaretz, Gideon Levy, yang mempromosi buku barunya bertajuk The Punishment of Gaza menolak tanggapan umum Israel, mengamalkan demokrasi kerana menindas penduduk Palestin.
Malah, dalam wawancara dengan akhbar The Independent, beliau mendedahkan taktik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menipu proses damai kerana pemimpin itu menolak perdamaian dengan Palestin.

“Hari ini, ada tiga jenis manusia yang diperintah Israel iaitu warga Yahudi Israel yang memiliki hak sivil sepenuhnya.

“Warga Arab Israel yang diberi kewarganegaraan tetapi dikenakan diskriminasi teruk dan penduduk Palestin di wilayah ditakluki yang tidak memiliki hak sivil mahupun hak asasi manusia. Adakah itu demokrasi?

“Bagaimanakah anda boleh kata ia demokrasi sedangkan dalam masa 62 tahun, tiada satu kampung Arab dibina. Tak perlulah saya beritahu berapa banyak bandar dan kampung Yahudi dibina dalam masa itu.

“Penyelidikan mendedahkan berulang kali hukuman berbeza kepada warga Yahudi dan Arab bagi jenayah sama. Adakah demokrasi apabila seorang pelajar Palestin tidak langsung dapat menyewa pangsapuri di Tel Aviv kerana loghat dan namanya? Setiap bahagian dalam masyarakat Yahudi mengamalkan perkauman,” katanya. Levy berkata, perjuangan utamanya ialah membantu penduduk Palestin supaya dilayan seperti manusia tetapi ia sukar kerana sistem di Israel menyekatnya.

“Kami diajar beberapa perkara seperti manusia Palestin dilahirkan untuk membunuh dan kebencian mereka tidak rasional. Mereka bukan manusia seperti kami.

“Jadi, anda tinggal dalam masyarakat tanpa sebarang keraguan moral dan tiada perbahasan mengenainya secara terbuka. Sukar melawannya meskipun anda meninggikan suara,” kata Levy.

Misi perjuangannya menyebabkan menteri Israel menuntut kerajaan memantaunya kerana dia kini dianggap ‘risiko keselamatan’ apabila mendedahkan apa yang berlaku di wilayah ditakluki setiap minggu sejak tiga dekad lalu menerusi Haaretz.

“Misi saya ialah menghalang ramai penduduk Israel berkata saya tidak tahu,” katanya dan mungkin itu menyebabkan pemerintah dan penyokongnya mahu Levy ‘didiamkan.’

Levy menggunakan teknik mudah dengan bertanya warga Israel perasaan mereka jika hidup di bawah telunjuk tentera.

Dalam kejadian di Jenin, keretanya berada di belakang ambulans pada sekatan jalan selama sejam. Levy terlihat seorang wanita sakit dalam ambulans dan diberitahu pemandunya bahawa mereka selalu disuruh menunggu berjam-jam lamanya.

Beliau hilang sabar dan bertanya askar Israel apa perasaan jika ibu mereka berada dalam ambulans itu. Askar Yahudi itu mengacu senapang ke arahnya dan menyuruh Levy diam. Satu lagi contoh ialah ketika tentera Israel melancarkan ‘Operation Cast Lead’ membedil Gaza, dua tahun lalu.

“Seekor anjing milik penduduk Yahudi mati kena letupan roket Qassam dan berita itu disiarkan di muka depan akhbar paling laris di Israel. Pada hari yang sama, berpuluh-puluh penduduk Palestin mati di Gaza, beritanya di muka 16 dan ditulis dalam dua baris perkataan saja,” kata Levy.

Beliau juga memahami mengapa penduduk Palestin mengangkat senjata. Katanya, hanya selepas rundingan aman dibalas dengan keganasan oleh Israel menyebabkan warga Palestin menggunakan kekerasan.

“Apa yang berlaku jika penduduk Palestin tidak melancarkan roket Qassam (ke bandar di selatan Israel)? Adakah Israel akan menamatkan sekatan ekonominya?

“Karutlah. Jika penduduk Gaza tidak berbuat apa-apa seperti dikehendaki Israel, kes mereka akan hilang daripada agenda, tiada siapa akan peduli dengan nasib penduduk Gaza jika mereka tidak bertindak,” katanya.

Bagi Levy, rundingan damai adalah satu penipuan sejak ia dilancarkan dan tidak akan berjaya. Bagaimana dia boleh tahu?

“Ada satu ujian mudah bagi setiap rundingan damai. Satu keperluan ialah Israel membubarkan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

“Jadi, jika anda akan bubarkannya, anda tentu henti membinanya sekarang, betul? Cuma, mereka terus membinanya sejak proses damai Oslo lagi.

Seperti pemimpin berhaluan kiri termasuk Ehud Barak dan Tzipi Livni, Netanyahu sentiasa menentang rundingan damai termasuk mendabik dada mahu memusnahkan proses damai Oslo.

Pada 1997, Netanyahu tidak sedar pita rakaman masih berjalan apabila berkata: “Mengapa itu (dasar anti damai) penting? Kerana mulai saat itu saya menghentikan perjanjian Oslo.”

“Jika dia boleh mendakwa dan mengugut akan menghentikan proses damai, mengapa anda fikir yang terbaru ini akan berjaya? Selain itu, bagaimana anda boleh berdamai dengan separuh penduduk Palestin? Bagaimana anda boleh singkirkan Hamas dan Gaza,” tanya Levy lagi.