BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, August 18, 2010

Ihya Ramadan: Umat Islam dituntut jaga adab berbuka puasa

ADAB berbuka puasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu. Sahl bin Sa’ad melaporkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdoa ketika berbuka

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa daripada Rasulullah SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membaca: “Hilanglah dahaga, basahlah peluh (hilang kekeringan) dan tetaplah pahala, insya-Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas: “Rasulullah SAW pernah datang ke (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda makan dan berkata: Mereka yang berpuasa berbuka puasa di sisi kamu, mereka yang baik makan makanan kamu dan malaikat akan berselawat ke atas kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air
Rutab ialah buah kurma yang sudah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis, manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Anas berkata:
“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Jika tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar, maka beliau minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Makan dengan sederhana

Orang berpuasa digalakkan tidak makan berlebihan ketika berbuka bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Segerakan solat Maghrib

Selepas berbuka dengan tamar atau air, jika makanan belum dihidangkan, umat Islam perlu segera menunaikan solat. Namun, jika makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) sudah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

0 comments: